Tuesday, April 24, 2012

Dari Nota Isi Hati Suami

Artikel ini diambil dari Nota Facebook suami...

Hari ini saya tergerak untuk menulis satu cerita yang mungkin tidak pernah diceritakan kepada sesiapa pun kecuali mereka yang rapat dan selalu mengikuti perkembangan saya. Cerita ini berkenaan dengan perniagaan, kawan-kawan & keluarga yang membawa saya sehingga sekarang. Sepertimana yang semua tahu, saya adalah usahawan sepenuh masa yang menjalankan perniagaan fotografi perkahwinan dengan syarikat sendiri iaitu NahamPhoto. Ramai yang bertanya dengan saya dari mana datangnya nama Naham tersebut. Mungkin cerita ini dapat menghuraikannya...

Sebelum saya memasuki kolej menyambung pelajaran dari SPM, saya telah bekerja disatu syarikat yang menjalankan latihan komputer dan perkhidmatan internet. Syarikat itu adalah milik isteri saya sekarang yang diberi nama Naham Techno Computer. Setelah menyambung pelajaran di kolej, saya terus berkhidmat disitu secara sambilan sehinggalah tamat pengajian saya. Setelah mendirikan rumahtangga, syarikat kami diarah untuk berpindah tempat memandangkan lokasi asal adalah hanya menyewa dalam satu kawasan orang lain. Setelah berpindah, tak ramai pengunjung yang mengetahui tempat baru menyebabkan perniagaan agak merundum. Ketika itu ilmu perniagaan saya sangat tipis kerana masih mentah. Saya akhirnya mendapat pekerjaan di Johor Bahru dan syarikat kami terpaksa ditutup kerana tiada orang yang dapat menguruskannya lagi.

Rezeki berniaga ketika itu mungkin tiada dan saya bekerja makan gaji di salah satu syarikat di Johor Bahru. Oleh kerana saya mempunyai pengetahuan dalam bidang internet dan fotografi, saya cuba-cuba untuk mengambil gambar perkahwinan saudara-mara untuk mendapatkan pendapatan tambahan. Disebabkan minat yang mendalam dan keazaman yang kuat, saya terus yakin menjalankan perniagaan fotografi perkahwinan secara sambilan dengan sokongan isteri. Kami berdua bertekad untuk menyambung balik kesinambungan Naham Techno Computer dengan merancang menggunakan nama Naham Photo & Graphic dalam bisnes ini. Alhamdulillah, berkat usaha keras, kami dapat menambah pendapatan walaupun tidak seberapa tetapi disebabkan minat, kerja kami menjadi mudah.

Langit tidak selalunya cerah, pada hari yang dinanti-nanti isteri saya yang mengandung telah melahirkan anak yang "istimewa". Anak tersebut telah dilahirkan tidak sempurna dengan klef di bibir. Ibu-bapa mana yang tidak mahu anak mereka sempurna dan sihat. Ketika itu saya rasakan dunia ini sangat gelap dan semangat saya sangat 'down'. Selain ahli keluarga terdekat dan sahabat baik, tidak ramai yang betul-betul memahami apa yang saya rasai. Tidak ramai juga orang yang ingin memberi semangat sepenuhnya kepada saya. Ketika itu, moral dalam kerja azali saya telah merundum. Ada juga mereka yang tidak memahami masalah saya jika saya tidak mampu melakukan tugas dengan baik. Serba sedikit saya sudah tawar hati untuk bekerja dengan orang lain memandangkan saya tidak mampu memberikan yang terbaik.

Pada fizikal mungkin ramai yang melihat saya tersenyum dan gembira, tetapi didalam hati hanya tuhan yang tahu. Satu ketika saya tersedar, segelintir mereka yang memberikan semangat telah membantu saya untuk bangun semula. Saya tekadkan dalam diri yang anak istimewa tersebut dilahirkan pasti mempunyai hikmah dari Allah. Anak tersebut dinamakan Nailah Hana yang saya sifatkan "miracle" dalam hidup. NAilah HAna Miracle sekali lagi menguatkan nama Naham sebagai nama yang boleh memberikan sesuatu yang bermakna dalam hidup kami. Tahun yang sama anak tersebut dilahirkan, saya mendaftarkan nama NahamPhoto dalam nama syarikat dan laman web rasmi. Kelahiran tersebut memang menjadi inspirasi kepada kelahiran NahamPhoto.

Dugaan tidak habis sampai disitu sahaja, dalam menjalankan perniagaan ini banyak dugaan yang saya hadapi. Ramai yang mempertikaikan kehadiran saya dalam industri, ramai juga yang tidak yakin dengan kemampuan saya. Tidak ketinggalan ada yang ingin menguji kemampuan saya. Namun, demi kerana anak & keluarga, saya kuatkan tekad untuk terus maju dan menjadikan kata-kata mereka yang berkata itu sebagai kata-kata yang memberikan semangat. Pada saya, jika saya tidak berani memulakan satu perkara, pasti saya tidak tahu samada saya mampu atau tidak melakukannya. Jika saya mendengar kata-kata negatif sudah pastinya saya turut menjadi orang yang negatif dan tidak berjaya. Dalam apa jua bidang, sudah pasti ada orang yang ingin menjatuhkan kita. Yang penting niat kita kerana Allah dan ingin memberikan yang terbaik kepada orang yang berurusan dengan kita.

Saya mempunyai strategi bagaimana untuk menghadapi semua perkara. Saya mengeluarkan banyak modal untuk mencari ilmu & motivasi. Pelbagai program, seminar & kursus yang saya sertai untuk menguatkan pengetahuan saya dalam bidang fotografi, perniagaan malah motivasi diri untuk saya terus kuat menghadapi dugaan-dugaan mendatang. Salah satu lagi faktor utama untuk saya terus bertahan adalah konsisten. Untuk melakukan sesuatu perkara tidak boleh 'angat-angat tahi ayam' dimana dikita buat sekejap sahaja tetapi bila ada masalah sikit, kita terus lemah. Pada saya, saya perlu teruskan apa yang saya mulakan walaupun apa juga halangan. kadangkala bila hadapi masalah, saya masih mampu bergerak walaupun perlahan. Yang penting kita tidak terus berhenti.

Rumusannya, setiap perkara yang berlaku diatas semua mempunyai hikmahnya. Kalau tidak kerana mereka, sudah pasti saya tidak sekuat ini, tidak mempunyai pengalaman, tidak mempunyai pengetahuan, tidak mempunyai situasi yang boleh diteladani. Oleh itu, saya sangat berterima kasih kepada mereka yang memberikan saya semangat selama ini. Terima kasih juga kepada mereka yang pernah memberikan impak negatif kepada saya. Kalau tidak kerana mereka, saya mungkin tidak tahu kelemahan diri saya sendiri. Selama saya menjalankan perniagaan sendiri, saya selalu serapkan aura positif dalam diri. Tidak kira pesaing, bisikan-bisikan negatif atau masalah yang melanda, saya yakin pasti ada sesuatu yang positif akan menjelma. Semoga cerita ini dapat memberikan inspirasi kepada mereka yang membaca. Saya doakan anda semua berjaya dunia akhirat.

*p/s- Jika anda rasakan cerita ini memberikan inspirasi, sudi-sudikan mengundi saya dalam pencalonan ini --> http://goo.gl/inBe6 atau layari www.nahamphoto.com & klik butang merah. Terima kasih.


-Harris Reds-

Pengasas NahamPhoto

*P/S - INI ADALAH CERITA CABARAN BISNES & KELUARGA KAMI. ALHAMDULILLAH, TUHAN MASIH MEMBERI KAMI KURNIAAN-NYA...

No comments: